mutakhir

Basikal RM7 je, memang power dik...

Oleh Rosman Shamsudin

SIAPA sangka basikal terpakai bernilai RM7 berjaya memenangi pertandingan peringkat antarabangsa selepas menerima sentuhan inovasi dan reka cipta daripada tiga beradik yang kreatif mengubahsuai basikal berkenaan.

Tiga beradik yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020, adalah Shahmeer Pandurar, 12, Shaheer, 10, dan Shazlan, 9, mencipta Basikal Pengecas atau dikenali Ecosegar-Enviro Cycle Charger dengan bimbingan guru Sains, Dr S Santharasekaran sekolah itu.

Basikal itu terpilih menerima Anugerah Emas sempena Pertandingan Digital, Inovasi, Rekacipta dan Design Antarabangsa kali ke-2 (DiiD 2019) yang bermula 8 Mac sehingga 18 Julai lalu di Universiti Teknologi Mara (UiTM ) cawangan Johor.

Shahmeer berkata, bapanya bekas jurutera automotif yang kini mengusahakan perniagaan besi buruk membeli basikal itu daripada seorang pelanggan dengan harga hanya RM7 sahaja.

Menurutnya, pada awalnya mereka tidak menghiraukan basikal itu sebelum timbul idea untuk mengubahsuainya dan mereka berjumpa guru Sains di sekolah untuk meminta pandangan dan bimbingan bagi menjadikan basikal berkenaan sesuatu yang luar biasa.

“Basikal ini dilengkapi alat pengecas tenaga elektrik ketika kita mengayuhnya yang semakin lama dan kuat dikayuh maka semakin bertambah tenaga elektrik dihasilkan.

“Ia boleh mengecas peralatan elektrik dengan menggunakan tenaga yang dibekalkan melalui kayuhan selain boleh menyihatkan badan jika rajin membuat kayuhan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Tiga beradik itu bakal menerima Anugerah Emas pada majlis penyampaiannya yang akan berlangsung di Hotel Amansari, Bandar Seri Alam, Masai, Johor pada penghujung Ogos nanti.

Sebelum ini, reka cipta sama juga pernah menerima Anugerah Emas dalam Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi (STEP) yang berlangsung Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) peringkat kebangsaan di Rawang dan Anugerah Emas di Eco Ranger Innovation and Invention Competition 2019 ( E’rriic 2019) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut Shahmeer, dia berbangga kejayaan itu dapat dikongsi bersama dua adiknya yang sentiasa bersemangat dalam memberi idea dalam proses pengubahsuain basikal berkenaan yang sebelum ini boleh dianggap besi buruk.

Katanya, kejayaan itu akan terus membakar semangat mereka tiga beradik untuk membabitkan diri dalam bidang inovasi dan reka cipta yang mungkin bakal mengubah masa depan serta kehidupan mereka.

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 5:53pm
d