mutakhir

'Setia ada batasnya...' - Azmin

Oleh Nur Lela Zulkipli

TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau bersedia untuk berdepan dengan individu yang pernah dikenalinya dalam perjuangannya selama ini.

Tanpa menyatakan siapa individu berkenaan, Mohamed Azmin berkata, bagaimanapun, kesetiaannya ada batasan.

“Saya setia kepada kepada kebenaran dan keadilan. Saya akan tetap perjuangkan keadilan dan kebenaran bukan untuk keluarga saya, tapi saya mahu untuk rakyat Malaysia, umat Islam dan Melayu dapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada ratusan penyokongnya pada program Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran Sempena Kemenangan Menolak Fitnah Terhadap Mohamad Azmin yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di Seksyen 7, Shah Alam, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, beliau bersedia menerima semua ujian itu yang bukan baharu baginya dan tidak pernah surut sejak 1998, walaupun harapan rakyat Malaysia termasuk dirinya ia tidak lagi diulangi selepas Mei 2018.

Namun, katanya, berikutan kerakusan dan nafsu serakah sesetengah pihak yang sanggup membunuh kerjaya politik seseorang, beliau diaibkan sekali lagi sejak lima minggu lalu.

“Saya tidak akan berganjak, walaupun saya dipijak, dihina, diaibkan sebegitu lama, Insya-Allah dengan doa, dengan dokongan dan sokongan rakyat Malaysia dan umat Malaysia saya akan berdiri tegak untuk membina sebuah Malaysia yang baharu.

“Lima minggu saya diaibkan sekali lagi. Lima minggu saya difitnah, isteri saya, anak-anak saya, keluarga saya, cucu-cucu saya, kakak-kakak saya, abang saya, terpaksa menempuh fitnah dan gelombang ini dengan penuh kesabaran dan ketenangan.

“Walaupun saya tidak mengheret rakyat bersama-sama, tetapi saya bersyukur, melalui maklum balas yang saya terima, rakyat mendoakan dengan cara mereka tersendiri," katanya yang kedengaran sedikit sebak.

Mohamed Azmin turut menyatakan beliau tahu siapa dalang di sebalik video itu, namun tidak mendedahkan siapa orangnya.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 12:11am
d