mutakhir

TLDM 'serang' Telok Perang

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KEHADIRAN sepasukan anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Pangkalan Lumut yang ‘menyerang’ Kampung Telok Perang disambut mesra komuniti kampung berkenaan.

Kehadiran kumpulan itu dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan SK Telok Perang dan Komuniti kampung berkenaan untuk mengadakan Program Jiwa Murni di kawasan berkenaan.

Program itu adalah aktiviti kemasyarakatan dalam usaha membantu sesebuah organisasi dan badan kebajikan ataupun individu yang memerlukan apa jua bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

Laksamana Muda Roslan Mohd Yunus yang mengetuai rombongan itu berkata, program disertai 120 anggota yang bersedia menabur bakti keapda masyarakat setempat.

Guru Besar SK Telok Perang, Adenan Morad berkata, program seperti itu sangat bersesuaian dengan hasrat kerajaan khasnya dan ATM amnya melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Ia membuktikan ATM tidak pernah mengenepikan masyarakat setempat dan sentiasa prihatin dengan keperluan warga tempatan,” katanya.

Katanya sempena program berkenaan anggota TLDM dan penduduk kampung bergotong-royong membersihkan SK Telok Perang dan Masjid Taufiqiah Kampung Telok Perang.

“Selain melakukan pembersihkan mereka turut membaikpulih prasarana sekolah dan masjid serta program pembersihan kawasan.

“Jalinan kerjasama ini adalah amat baik dalam mengeratkan hubungan dan interaksi antara TLDM, sekolah dan masyarakat setempat.

“Saya sangat berharap dengan Program Jiwa Murni yang dianjurkan ini akan mewujudkan nilai menghargai dan bekerjasama dikalangan murid,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Taufiqiah Kampung Telok Perang, Wazir Ishak turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas pelaksanaan program yang disifatkan beliau sebagai satu program yang mesra dan bermanfaat.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 5:30am
d