mutakhir

Polis buka kertas siasatan

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

POLIS memanggil beberapa individu untuk merakam percakapan bagi membantu siasatan kekecohan yang berlaku susulan kehadiran pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin ketika kuliah Maghrib di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka, malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) dan juga Seksyen 296 Kanun Keseksaan.

“Oleh kerana mereka berhimpun dan melakukan kekecohan, kita pun buka kertas siasatan mengikut Seksyen 9(5) APA 2012 dan juga Seksyen 296 Kanun Keseksaan.

“Mereka (individu terbabit) dah dipanggil untuk beri keterangan. Gambar semua kita ada jadi semuanya masih dalam siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah,” katanya menerusi kiriman WhatsApp kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Media hari ini melaporkan sekumpulan lebih 40 individu berkumpul di perkarangan Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana sejak kira-kira 6 petang sebelum melakukan bantahan menyebabkan kekecohan 7.50 malam selepas solat Maghrib.

Majlis ilmu yang dianjurkan Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.

Difahamkan, kekecohan itu dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah yang meminta agar ceramah itu tidak disampaikan oleh penceramah kontroversi Wan Ji.

Ketegangan yang berlaku kira-kira 30 minit itu akhirnya berjaya dileraikan oleh pihak polis dan meminta kumpulan individu itu untuk keluar dan ceramah bulanan itu diteruskan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Aziz berkata, pihaknya sudah menerima enam laporan berkaitan kekecohan itu.

“Sehingga kini, kita menerima enam laporan polis yang dibuat oleh orang awam terdiri daripada pesara, peniaga, kerja sendiri (dua orang), pegawai penyelaras masjid dan pegawai khas,” katanya.

Wan Ji, 37, pada 9 Julai lalu dijatuhi hukuman penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi, menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun tiga hari kemudian pada 12 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan hukuman penjara setahun terhadapnya sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

Wan Ji, didakwa pada 10 September 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook (FB) dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam, pada 10 pagi, 5 November 2012.

Berita berkaitan

Kecoh ceramah dihadiri Wan Ji

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 5:17pm
d