mutakhir

Jawatankuasa Pilihan Dewan Negara akan ditubuhkan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PENUBUHAN Jawatankuasa Pilihan Dewan Negara akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai usaha untuk menangani pelbagai isu dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, banyak cadangan yang diberikan Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara (JKRDN) untuk memanfaatkan jawatankuasa berkenaan yang lebih baik bagi menyelesaikan pelbagai isu semasa serta memastikan kesaksamaan gender dalam proses pemilihan dan pelantikan Ahli Dewan Negara.

“Jawatankuasa Pilihan Dewan Negara perlu diwujudkan dulu. Selepas kita buat, saya berasa perkara lain yang diminta oleh pihak senator bolehlah kita lihat,” katanya ketika menjawab soalan Senator Yusmadi Yusoff dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, perkara itu akan dibentangkan ketika sidang Parlimen akan datang bagi membolehkan ia direalisasikan.

“Mudah-mudahan ia dapat kita realisasikan dalam sesi Parlimen akan datang, di mana kita dapat lihat secara keseluruhannya reformasi dapat dijalankan seberapa cepat yang boleh,” katanya.

Sementara itu Yusmadi yang juga Pengerusi JKRDN berkata, dengan adanya jawatankuasa pemilih berkenaan, ia akan memperkasakan peranan Dewan Negara untuk menjadi semak dan imbang kepada pelbagai isu membabitkan rakyat.

“Tibalah masanya rakyat Malaysia faham bahawa Parlimen Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan saya yakin tumpuan yang sama penting perlu diberikan di Dewan Negara.

“Kita tak perlu tunggulah macam dulu apabila ada sensasi berita palsu tak lulus, baru kita kata benda itu penting.

“Bagi saya yang penting ialah perbahasan boleh membantu tambah baik apa saja cadangan rang undang-undang (RUU) memberi manfaat kepada rakyat.

“Ini tidak memerlukan pindaan perlembagaan. Senator ada peranan besar. Cabaran dalam melakukan reformasi Dewan Negara ini setakat dimaklumkan kepada saya antara negara yang pernah buat adalah Kanada dan Australia.

“Cabarannya adalah komunikasi, pendidikan dan kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 5:27pm
d