mutakhir

Tokan dadah junior kantoi [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

LELAKI yang baharu tiga bulan berjinak-jinak mengedar dadah dicekup pihak berkuasa di sebuah bangsal dalam kebun getah di Kampung Gong Dayak, Tok Uban, Pasir Mas semalam.

Dia yang berusia 19 tahun itu ditahan 6.45 petang bersama sejumlah kepingan foil dipercayai Erimin 5, daun ketum dan ubat batuk di bangsal yang dijadikan lokasi transit sebelum diedarkan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, serbuan itu dilakukan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8, Pengkalan Chepa.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan.

“Pemeriksaan dalam bangsal menjumpai tiga kotak bertulisan Dynapharm berisi 300 botol plastik lutsinar dengan tulisan Dynadryl Syrup yang berisi cecair kehitaman disyaki dadah jenis Kodein.

“Turut ditemui, 17 bungkusan plastik berisi daun kehijauan disyaki ketum dengan anggaran berat 17 kilogram (kg) selain 700 pil dipercayai Erimin 5 dalam kepingan foil yang dibungkus dalam surat khabar, keseluruhan rampasan bernilai RM14,010,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.

Abdullah berkata, suspek yang juga penganggur berperanan sebagai orang tengah dalam urusan jual beli dadah dan bekalan itu diperoleh dari negara jiran untuk pasaran sekitar Pasir Mas.

“Ujian saringan adalah negatif dan suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Selain itu suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan kedua, Abdullah berkata, buruh berusia 28 tahun ditahan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang, 8 malam hari sama.

“Pemeriksaan pada tubuh suspek menemui satu bungkusan plastik berisi kepingan foil aluminium mengandungi pil disyaki Erimin 5 yang dipegang lelaki itu.

“Sebanyak 800 pil Erimin 5 dirampas dengan anggaran nilai RM12,000 dan hasil ujian saringan yang dilakukan, suspek positif methampethamine,” katanya.

Menurutnya, suspek memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah dan kes jenayah mengikut Akta Rumah Judi Terbuka.

“Suspek mula terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 5:38pm
d