mutakhir

Nama PM disalahgunakan

BERNAMA

NAMA Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikesan disalahgunakan pihak tertentu dalam dua insiden hingga boleh menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menjelaskan Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan surat berbentuk emel kepada pihak pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan demi mendapatkan sokongan peribadi dalam menjayakan pentadbiran beliau.

“Sebarang bentuk komunikasi rasmi daripada Perdana Menteri akan hanya dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri dan bukannya emel peribadi beliau,” menurut kenyataan itu hari ini.

Pejabat Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak pernah menyokong mana-mana laman sesawang yang mempromosikan perniagaan Bitcoin.

Kedua-dua insiden itu sudah dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

“Pejabat Perdana Menteri ingin menasihatkan sesetengah pihak agar lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahguna nama dan kedudukan Perdana Menteri di dalam surat-menyurat mahupun laman sesawang kerana ia salah di sisi undang undang,” menurut kenyataan itu.

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 6:19pm
d