mutakhir

Peranan polis bagi nasihat...

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

POLIS tidak mengeluarkan sebarang kelulusan ceramah kepada penganjur kuliah Maghrib di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Alor Gajah, yang dihadiri pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, sekiranya ada risiko keselamatan, polis hanya memberikan nasihat dan cadangan, namun segala keputusan adalah terpulang kepada penganjur.

“Polis tidak mengeluarkan kelulusan untuk berceramah, namun jika ada isu keselamatan di masjid maka ceramah tidak akan mencapai objektif untuk memberikan ilmu.

“Itu nasihat yang diberikan, maka penganjur wajar tunda, tangguh, atau ditukar lokasi tempat ceramahnya,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka, hari ini.

Media hari ini melaporkan lebih 40 individu berkumpul di perkarangan Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana sejak kira-kira 6 petang semalam sebelum melakukan bantahan menyebabkan kekecohan 7.50 malam selepas solat Maghrib.

Majlis ilmu yang dianjurkan Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.

Difahamkan, kekecohan itu dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah yang meminta agar ceramah itu tidak disampaikan oleh penceramah kontroversi Wan Ji.

Ketegangan yang berlaku kira-kira 30 minit itu akhirnya berjaya dileraikan oleh polis dan meminta kumpulan individu itu untuk keluar dan ceramah bulanan itu diteruskan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu itu bukannya disebabkan kandungan ceramah agama Wan Ji tetapi personaliti individu berkenaan.

“Apabila nasihat keselamatan tidak diutamakan maka risikonya terpaksa ditanggung penganjur. Maka berlaku kekecohan itu.

“Tetapi Alhamdulillah ia dapat disuraikan oleh Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Aziz,” katanya.

Berita berkaitan

Polis buka kertas siasatan

Kecoh ceramah dihadiri Wan Ji

Disiarkan pada: July 22, 2019 @ 6:27pm
d