mutakhir

Biarpun kudung

Oleh Ramli Ibrahim

BIARPUN kudung kaki kanan selepas dipotong akibat penyakit kencing manis, seorang wanita tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri kepada keluarga.

Dalam keadaan mengengsot, Nik Noor Saliza Nik Mohd Yusof, 30, masih lagi memasak untuk dua anak dan suaminya di rumah.

Dia kini amat memerlukan bantuan kaki palsu baharu untuk memudahkannya berjalan.

Nik Noor Saliza berkata, penderitaan hidup dilaluinya sejak lebih tiga tahun lalu dan kini menumpang tinggal bersama bapanya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, dekat sini.

“Saya mula menerima rawatan kencing manis ketika berusia 20 tahun lagi dan keadaan itu semakin kritikal apabila berusia 27 tahun sehingga kaki kanan terpaksa dipotong.

“Tidak lama selepas itu, kaki kiri saya turut dijangkiti kuman dan perlu menjalani rawatan setiap minggu di Hospital Gua Musang (HGM).

“Kini, saya sukar bergerak kerana tidak mampu menggantikan kaki palsu yang sudah rosak dan berharap ada pihak yang prihatin tampil membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, kerana kesempitan hidup, keluarganya terpaksa mengikat perut dengan hanya makan sehari sekali.

“Suami, Rohaizad Che Soh, 41, yang bekerja sebagai buruh di Negeri Sembilan terpaksa berhenti kerja untuk menjaga keperluan saya di rumah.

“Saya terpaksa menggunakan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan untuk menampung perbelanjaan dua anak yang masih bersekolah,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 03063020353900 milik Nik Noor Saliza.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 6:10am
d