mutakhir

Demi tiket perlawanan akhir Piala FA [METROTV]

Oleh BERNAMA

PEMINAT bola sepak Kedah bukan sahaja sanggup datang dari jauh ke Stadium Darul Aman (SDA) di Alor Setar, malah mula beratur dari malam semalam bagi memastikan mereka berpeluang mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA 2019.

Tiket untuk perlawanan itu mula dijual pada 10.30 pagi hari ini.

Muhammad Amin Abu Bakar, 23, yang hanya bekerja kampung datang dari Jeneri, Sik bersama empat rakannya ke SDA dan mula beratur kira-kira 8 malam semalam.

Beliau yang sering menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan skuad Lang Merah berkata, setiap kali pasukan itu berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir, tiket yang ditawarkan sering tidak mencukupi dan perlu cepat untuk mendapatkannya.

“Harap dapat lah tiket sebab kalau tengok dari semalam, tak ramai macam selalu, walaupun dah berbaris boleh lagi nak ke tandas, sebelum ini kalau dah berbaris memang tidak boleh ke mana dah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di SDA awal pagi, hari ini.

Siti Laila Mastura Hashim, 30, pula bertolak kira-kira 12 tengah malam dari Kulim dan tiba di SDA pada 2 pagi bersama empat rakannya.

Pekerja kilang itu berkata, setiap kali Kedah layak ke peringkat akhir bagi mana-mana liga, beliau dan rakannya sering beratur dari malam untuk mendapatkan tiket perlawanan.

Walaupun mereka tiba agak lewat, beliau bersyukur kerana barisan masih belum terlalu panjang dan tidak sesak seperti sebelum ini.

“Mungkin sebab sekarang dah ada jual tiket dalam talian, jadi sebab itu orang tak ramai sangat mai (datang) stadium macam dulu,” katanya.

Sementara itu Zulkifli Hashim, 40, dari Yan pula berkata, walaupun boleh mendapatkan tiket secara dalam talian, beliau lebih suka beratur di stadium bersama-sama penyokong lain bagi menaikkan semangat hijau kuning.

“Saya lebih suka berkumpul beramai-ramai macam ini, biar susah sikit tidak apa, kita sama-sama penyokong boleh berjumpa, bersembang dan bertukar-tukar pandangan tentang persembahan pasukan kesayangan kita,” katanya.

Kaunter tiket perlawanan akhir Piala FA membabitkan dua gergasi utara iaitu Kedah dan Perak dibuka hari ini serentak di kedua-dua negeri bermula 10.30 pagi.

Perlawanan akhir Piala FA 2019 antara dua negeri itu bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 11:10am
d