mutakhir

Guru wanita diacu pistol, disamun

Oleh Siti Rohana Idris

SEORANG guru wanita diacukan pistol sebelum disamun dua lelaki menyebabkan kerugian RM300 kejadian di Jalan Kota Bharu-Pasir Mas, berhampiran Kampung Salor, Kota Bharu, pagi tadi.

Kejadian jam 6.40 pagi, guru wanita berusia 39 tahun memandu kereta bersendirian dalam perjalanan dari rumahnya di Selising untuk mengajar di sebuah sekolah khas di Lati, Pasir Mas.

Video guru wanita itu menaiki Perodua Viva yang masih trauma disamun mula tular sejak pagi ini.

Mangsa, Noraida Othman, 39, berkata sebelum kejadian kereta dipandunya ditendang dari arah belakang dan melihat sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki mengekori rapat serta masuk ke sebelah kiri.

“Lelaki itu kemudian mengacukan sepucuk pistol lalu menyuruh saya memberhentikan kereta. Kerana takut, saya berhentikan kereta kerana diacukan pistol.

“Lelaki itu mengambil beg tangan milik saya yang diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan kerana tingkap berada dalam keadaan terbuka sebelum melarikan diri.

“Beg tangan itu mengandungi wang tunai dan dokumen pengenalan diri serta dokumen penting,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Menurutnya, itu adalah kejadian pertama yang berlaku kepadanya.

Katanya, menjadi rutin membuka tingkap kereta setiap kali memandu ke sekolah.

“Saya akan keluar rumah di Selising pada 6 pagi untuk menghantar anak ke sekolah sebelum bergerak ke tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan ada menerima laporan daripada mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat mengesan suspek.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 2:32pm
d