mutakhir

Pak Ma'on dituduh cabul jiran [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PENGERUSI Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka hari ini terhadap dua pertuduhan iaitu menceroboh rumah dan mencabul kehormatan jirannya pada 15 Julai lalu.

Tertuduh, Ma’on@Yunus Abu Samah, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 46 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatannya di rumah mangsa di Kampung Pulau Nibong, Pengkalan Batu, Batu Berendam kira-kira jam 1.30 tengah hari, 15 Julai lalu.

Bapa kepada enam anak berusia antara dua hingga 23 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh masuk ke rumah wanita itu tanpa kebenarannya pada waktu dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Norfazlinda Alimad.

Norfazlinda dalam rayuannya memohon mahkamah untuk memberikan wang jaminan yang rendah kerana tertuduh hanya melakukan kerja kampung dengan gaji bulanan tidak tetap iaitu sekitar RM500.

“Tertuduh juga perlu menyara enam anaknya termasuk yang bongsu baru berusia dua tahun dan isteri berusia 46 tahun,” katanya.

Muhammad Nazrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 serta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa.

Kes akan disebut semula 18 September ini.

Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan Pengerusi MPKK direman empat hari atas tuduhan mencabul suri rumah warga Indonesia yang juga jirannya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 2:57pm
d