mutakhir

Jalan-jalan cari makan

Oleh Azzman Abdul Jamal

PENDUDUK di Lavender Heights di Senawang, Seremban, gempar dengan kehadiran seekor tapir berkeliaran di kawasan perumahan itu, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Seremban, Kapten Md Fadir Md Nor berkata, kehadiran tapir itu mula disedari penduduk setempat kira-kira jam 12 tengah hari sebelum membuat panggilan kecemasan menangkap haiwan berkenaan.

“Seramai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) hadir di lokasi sebaik menerima panggilan jam 12.32 tengah hari.

“Usaha menangkap tapir turut dibantu beberapa penduduk.

“Kita berjaya mengurung haiwan berkenaan dalam sebuah rumah penduduk sebelum pihak kami menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, katanya, tapir itu dipercayai datang dari kawasan hutan berhampiran kawasan perumahan itu.

“Pihak PERHILITAN dengan bantuan APM berjaya memerangkap tapir ke dalam sangkar untuk dipindahkan ke lokasi selamat.

“Tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 4:17pm
d