mutakhir

Melayang RM2,000

Oleh Hadzlihady Hassan

SIASAT lain tetapi kena kes lain. Itu yang berlaku terhadap dua penjual durian di Jalan Macalister, Georgetown apabila mereka dikompaun RM2,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang.

Dua peniaga itu diambil tindakan kerana meletakkan tanda harga mengelirukan serta tidak meletakkan tanda harga dalam Bahasa Malaysia.

Timbalan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung berkata, pihaknya pada mulanya menerima aduan berhubung kes pemilik kedai itu mengenakan harga hampir RM1,000 untuk tiga biji durian jenis duri hitam, ochee dan D200 kepada seorang wanita Jun lalu.

“Berikutan aduan itu, kita membuat pemeriksaan lanjut dan mengeluarkan notis kepada peniaga supaya memberikan dokumen seperti invois jualan serta belian dan penyata kewangan untuk kita siasat sama ada ia ada unsur pencatutan.

“Dua peniaga itu kemudian mengemukakan semua dokumen lengkap dan hasil siasatan mendapati harga tiga biji durian yang dijual itu munasabah dan tiada unsur pencatutan,” katanya pada sidang media hari ini.

Chin berkata, bagaimanapun pemeriksaan lanjut mendapati pemilik kedai menjual durian terbabit yang berusia 42 dan 58 tahun didapati meletakkan tanda harga mengelirukan dan mempamerkan tanda harga hanya dalam Bahasa Cina.

“Kita juga dapati peniaga itu meletakkan tanda harga RM65 hingga RM95 bagi sekilo durian jenis duri hitam hingga menimbulkan kekeliruan kerana ia tidak menyatakan dengan jelas caj sepatutnya dikenakan kepada pengguna.

“Tanda harga sedemikian menimbulkan kekeliruan kepada pengguna dan boleh dimanipulasi peniaga,” katanya.

Berikutan itu katanya, pihaknya mengeluarkan dua kompaun masing-masing RM1,000 kerana dua kesalahan terbabit.

Sementara itu katanya, sepanjang musim durian ini, pihaknya mengeluarkan 10 kompaun membabitkan jumlah RM1,500 kepada peniaga durian di negeri itu.

“Tujuh kompaun yang dikeluarkan membabitkan kesalahan menggunakan alat timbang dan sukat tamat tempoh serta tiada cop KPDNHEP manakala tiga lagi kompaun kerana peniaga durian tidak meletakkan tanda harga,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 4:49pm
d