mutakhir

680 aduan pelanggaran data tahun lalu

Oleh Yusmizal Dolah Aling

JABATAN Data Peribadi (JPDP) menerima sebanyak 680 aduan bagi subjek berkaitan data sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 46 peratus aduan berjaya diselesaikan dan kes ditutup .

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Eddin Syazlee Shith berkata, jenis kesalahan paling kerap diterima adalah aduan berkaitan pelanggaran tujuh Prinsip Perlindungan Data Peribadi (PDP) terutamanya prinsip am, penzahiran dan keselamatan.

Menurutnya, golongan pengguna data yang merekodkan aduan tertinggi adalah institusi perbankan dan insurans.

“Aduan berkaitan penzahiran data peribadi kepada pihak ketiga tanpa kebenaran (ejen pengutip hutang) dan pemasaran langsung juga antara yang diterima.

“Berdasarkan kepada keadaan semasa, dengan tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi digital yang mana dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta menjadi faktor penarik pelabur dan penggunaan perkhidmatan `cloud’ yang semakin meluas.

“Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) adalah relevan dalam memastikan pengurusan data peribadi yang lebih telus dan berintegriti oleh pengguna data khususnya dalam urusniaga komersial,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mustapha Kamal Mohd Yusoff yang minta penjelasan mengenai jumlah aduan dan apakah akta itu masih relevan dalam konteks negara ini.

Eddin berkata, ia masih relevan kerana Akta 709 ini juga memposisikan Malaysia sebagai sebuah negara di dunia yang menguatkuasakan perundangan mengenai perlindungan data peribadi antaranya seperti United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada, New Zealand, Australia, Macau, Hong Kong, Jepun, Singapura dan juga Thailand.

“Perlindungan data peribadi juga adalah elemen penting yang perlu ada di bawah mana-mana perjanjian perdagangan bagi memastikan pengurusan data peribadi oleh pengguna data mematuhi prinsip PDP dan juga amalan terbaik yang diguna pakai di peringkat antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 5:06pm
d