mutakhir

Daging salai Kemboja dirampas

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

DAGING lembu salai seberat 20 kilogram dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Ahad lalu.

Menerusi kenyataan MAQIS, daging yang dibawa penumpang pesawat itu dirampas kerana tidak mempunyai sebarang dokumen sah seperti permit import daripada jabatan itu, sijil kesihatan dan sijil halal dari negara asal.

“Berdasarkan hasil pemeriksaan, 23 pek daging lembu (salai) itu dibawa penumpang warga Kemboja pada 2 petang di laluan penumpang antarabangsa klia2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, perbuatan mengimport hasilan haiwan tanpa permit sah daripada MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Kegagalan mematuhi peraturan import ini juga boleh dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kuarantin Dan Pemeriksaan (Pengkompaunan Kesalahan) 2019 sehingga RM50,000,” katanya.

Mengulas lanjut, MAQIS sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang masuk ke dalam negara ini adalah bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Menurutnya, juga akan dipastikan tidak menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara di samping mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 5:18pm
d