mutakhir

Simpan wang hasil jual lembu dan kambing

Oleh Mohamad Hussin

“KAMI mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2009 dan pernah tiga kali merayu untuk ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah, berkat doa dan kesabaran pasti ada hikmahnya,” kata pasangan Azizul Aziz, 64, dan isteri, Rohani Jantan, 63, yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Pasangan terbabit dari Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan bersyukur kerana terpilih antara jutaan umat Islam di seluruh dunia menunaikan fardu haji tahun ini.

Azizul berkata, dia dan isteri sedih dan gembira kerana diberi kesempatan mengerjakan rukun Islam kelima itu sementara masih bernafas di muka bumi ini.

“Saya menyimpan duit untuk ke Tanah Suci hasil jualan lembu dan kambing yang dibela sejak beberapa tahun lalu.

“Harga sawit yang tidak menentu menyebabkan kami mengambil inisiatif menjalankan perniagaan ternakan ini.

“Syukur, kini saya mempunyai 30 ekor lembu dan 15 ekor kambing,” katanya ditemui di Kompleks TH, Sepang hari ini.

Menurutnya, seekor lembu dijual dengan harga antara RM2,000 hingga RM3,000 manakala kambing pula dijual antara RM600 hingga RM700 seekor.

“Hasil jualan ternakan ini dapatlah kami simpan duit dalam TH selain hasil sawit yang berkeluasan 3.2 hektar.

“Kami sudah membuat persediaan awal untuk ke Tanah Suci termasuk mengikuti kursus haji sejak lapan tahun lalu,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.

Sementara itu, Besah Kechik, 79, dari Felda Jengka 5, Pahang berkata, dia bersyukur dapat mengerjakan haji bersama anaknya, Mazalam Abd Rahaman, 56.

Katanya, walaupun mengalami sakit lutut, dia tetap bersemangat mengerjakan haji kerana pertama kali melaksanakannya.

“Sepatutnya saya seorang saja yang terpilih namun membuat rayuan kepada TH supaya anak saya juga dapat pergi sebagai pengiring,” katanya.

Mereka antara 479 jemaah yang terpilih menjadi tetamu Allah sempena Musim Haji 1440H/2019M.

Jemaah berlepas menerusi penerbangan KT35B (XY5688) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 3.15 petang dan dijangka tiba di Jeddah 6 petang (waktu Arab Saudi).

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 5:55pm
d