mutakhir

Dah 20 tahun baru 'kantoi'....

Oleh Zaid Salim

SUAMI isteri warga Thailand bersama enam anak yang berada secara haram lebih 20 tahun di Terengganu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dalam serbuan di Kampung Matang, Kuala Berang, semalam.

Lelaki berusia 48 tahun dan isterinya berusia 39 tahun serta enam anak berusia antara empat hingga 22 tahun ditahan di rumah sewa mereka dalam serbuan kira-kira 7.30 malam.

Wanita itu mendakwa masuk ke negeri ini ketika berusia lapan tahun bersama ibunya dan menetap di kampung berkenaan sejak 1988 dan berkahwin ketika berusia 15 tahun di Rantau Panjang, Kelantan selepas kematian ibunya.

Malah, mereka yang menyedari melakukan kesalahan kerana tinggal lebih masa dan tidak mempunyai pengenalan diri dikatakan hidup berpindah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Suami dan dua anak lelaki melakukan kerja kampung untuk menampung kehidupan mereka.

Selain itu, dua anak pasangan itu yang berusia enam dan sembilan tahun belajar di sekolah agama persendirian di Kampung Kubang Lembek, Manir, manakala anak perempuan berusia 14 tahun pula dikatakan belajar di sebuah pondok di Kampung Basung, Hulu Terengganu.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh berkata, serbuan dilakukan pihaknya hasil aduan penduduk setempat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu didapati tinggal di negara ini melebihi masa yang dibenarkan, manakala anak mereka pula tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Keluarga itu kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 7:10pm
d