mutakhir

Saksi, bank tertekan akibat diserbu BNM

Oleh Murni Wan Omar

BEKAS Pengurus Perhubungan Ambank, Joaana Yu Ging Ping memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau diminta meninggalkan bank itu pada 2015 selepas tertekan akibat serbuan Bank Negara Malaysia (BNM).

Yu mengakui beliau tertekan kerana terbabit secara langsung dengan akaun bank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh ketika prosiding perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi Najib, 66.

Harvinderjit merujuk kepada saksi mengenai AmBank didenda RM53.7 juta oleh BNM berhubung kegagalan untuk membuat laporan mengenai transaksi bank meragukan.

HARVINDERJIT: Adakah kamu tahu kenapa mereka (AmBank) didenda?

YU: Saya hanya membacanya di akhbar, berhubung ketidakpatuhan prosedur.

HARVINDERJIT: Adakah kamu meninggalkan bank atau kamu diminta meninggalkan bank?

YU: Saya diminta meninggalkan bank.

HARVINDERJIT: Adakah kerana pembabitan anda dengan akaun milik Najib?

YU: Saya percaya begitu, AmBank diletakkan dalam keadaan tertekan. Dua lagi rakan sekerja saya iaitu Daniel Lee dan Krystle Yap juga meninggalkan AmBank. Lee dan Yap mengendalikan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC.

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram mengingatkan Harvinderjit bahawa saksi ke-54 itu sudah menandatangani akujanji kerahsiaan berhubung kerjanya.

Oleh itu, Harvinderjit tidak meneruskan soalan berhubung perkara itu.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 8:38pm
d