mutakhir

Empat rumah hangus

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

EMPAT rumah papan berhampiran Sekolah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur, hangus dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, semua penghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.04 pagi sebelum menghantar pasukan penyelamat ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak bergegas ke lokasi bersama bantuan daripada BBP Wangsa Maju, Sentul, Hang Tuah, Keramat dan Titiwangsa dengan kekuatan 47 anggota bersama lapan buah jentera.

“Setiba di lokasi didapati empat buah rumah papan sedang marak terbakar, dan pasukan penyelamat menjalankan kerja pemadaman dan pengawalan api daripada merebak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal pada 1:40 pagi , manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan akibat kebakaran,”katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 9:48am
d