mutakhir

Nukilan si wanita buta

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

MESKIPUN berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir, namun ia tidak menghalang wanita berusia 52 tahun ini menghasilkan lebih 300 buku seperti novel, puisi, cerpen selain skrip drama radio.

Lebih membanggakan, sepanjang bergelar penulis, Amy Suzani Mohd Ainuddin sudah meraih beberapa anugerah termasuklah Anugerah Tokoh Akademik OKU sempena Sambutan Hari OKU (2014), Tokoh Budayawan OKU sempena Sambutan Hari OKU Muqarrabun 2017 Peringkat Kelantan dan Tokoh OKU Kelantan sempena Hari Sayyidatina Khadijah 2019 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.

Amy Suzani berkata, mata kirinya langsung tidak dapat melihat dan hanya bergantung kepada mata kanan dengan jarak penglihatan terhad selain terpaksa menggunakan kanta pembesar setiap kali mahu menilai atau membaca semula hasil karyanya.

Katanya, minatnya dalam bidang penulisan bermula sejak dari sekolah rendah dan hanya selepas menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Malaya (UM) pada 1991, dia mula serius menulis dan menghasilkan beberapa karya.

“Walaupun hanya menggunakan komputer biasa yang terpaksa dibesarkan keluasan skrin sehingga 200 peratus untuk menaip, namun tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus berkarya.

“Untuk menyiapkan satu cerpen, saya mengambil masa dalam satu hari sahaja dan bagi novel pula sehingga dua atau tiga bulan bergantung kepada penceritaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.

Ibu kepada dua anak berusia 11 dan 12 tahun berkata, di awal pembabitan dalam dunia penulisan, beberapa karyanya pernah ditolak syarikat penerbitan kerana tidak menepati apa yang mereka perlukan.

“Namun saya tidak pernah berputus asa dan menganggap itu adalah cabaran yang perlu ditempuhi seorang penulis.

“Selama hampir 28 tahun berkarya, saya sudah menulis beberapa buku antaranya Lambaian Hijrah, Sirna Buana, Kasih Yang Tiada Penghujungnya, Bila Hati Terguris, Kembang Semusim, dan juga Apologi Kepada Alam dan terkini sedang menyiapkan siri kanak-kanak berjudul Tasha dan Aqash serta skrip drama radio untuk Kelantan FM bertajuk Seindah Hati Adhana,” katanya.

Sementara itu, Amy Suzani turut menasihatkan kepada generasi muda supaya jangan menyesali kekurangan yang ada pada diri sendiri.

“Jangan menyesal dan kecewa sekiranya kita tidak sempurna kerana yang penting kita juga seperti insan lain, memiliki pendirian dan ketetapan diri untuk maju dalam hidup,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 10:29am
d