mutakhir

Kaki sabung ayam dicekup

Oleh Norsyazwani Nasri

TIGA kaki sabung ayam termasuk seorang warga emas yang leka melihat ayam mereka beraksi ditahan dalam serbuan polis di ladang kelapa sawit di Jalan Makasing, Mendamit di Limbang, petang semalam.

Ketika serbuan pada 4.05 petang itu, ketiga-tiga suspek berusia antara 39 hingga 75 tahun sekadar tercengang selepas melihat kehadiran anggota polis.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, selain tiga suspek, pihaknya menemui 24 ayam sabung yang masih hidup, manakala seekor lagi sudah mati.

“Selain itu, pasukan serbuan turut menemui pelbagai peralatan yang digunakan dalam pertaruhan termasuk taji atau lawi ayam.

“Selain menjadi lokasi menyabung ayam, pemeriksaan lanjut mendapati khemah yang didirikan di kawasan itu sebagai tempat kegiatan judi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan 1962.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 11:53am
d