mutakhir

[UPDATE] Manja petanda mahu pergi..

Oleh Muhamaad Razis Ismail

“ARWAH anak menjadi manja dan rapat dengan saya,” kata Roswaman Mahmood, 33, bapa kepada kanak-kanak perempuan tiga tahun yang maut dalam kemalangan di Kilometer 71.5, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, anak bongsu daripada tiga beradik, Ramadhiyani Al Hani Roswaman, 3, meninggal dunia di Hospital Kuala Krai (HKK) akibat parah di dada.

Seorang lagi penumpang, Siti Syafwani Shafei, 27, yang parah di kepala maut dalam perjalanan ke HKK.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Sembilan, Gua Musang.

Pemandu Perodua Alza, Inni Syukurna Zakaria, 23, dan ibu kepada Ramadhiyani, Suliza Ab Latiff, 32, yang cedera dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.

Roswaman berkata, dia tinggal berjauhan dengan keluarganya kerana bertugas sebagai anggota polis di Terengganu.

Katanya, dia mendapat panggilan telefon daripada bapa dan jirannya memaklumkan berhubung kemalangan itu sebelum terus bergegas pulang.

“Kali terakhir, saya berjumpa anak minggu lalu ketika pulang bercuti di rumah selama beberapa hari. Saya perasan dia begitu manja dan menganggap perkara biasa kerana jarang bertemu.

“Pagi semalam, isteri hubungi maklumkan dia dan anak akan ke Terengganu bertemu saya pada hari ini.

“Namun perancangan Allah SWT mengatasi segalanya dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian, dia difahamkan isteri bersama anak dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil salah seorang adik angkat yang bekerja di bandar Kuala Krai.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dikatakan cuba mengelak motosikal sebelum hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.

“Kini, isteri saya masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKK selepas disahkan patah tulang belakang, bahu dan rusuk,” katanya.

Harian Metro melaporkan dua maut termasuk kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun selepas kereta dinaiki terbabas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan dari Kuala krai menghala ke Padang Sembilan.

Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki cuba mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah sama sebelum hilang kawalan.

Berita berkaitan

Ajal cuba elak mototiskal

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 12:21pm
d