mutakhir

Prosiding permohonan komital 9 Ogos

Oleh Sarah Zulkifli

MAHKAMAH Koroner di Shah Alam, hari ini menetapkan 9 Ogos nanti sebagai tarikh untuk menyelesaikan dua isu berhubung permohonan perintah komital (hina mahkamah) difailkan bapa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim kepada Peguam Negara Tommy Thomas.

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan tarikh itu dalam prosiding pengurusan kes permohonan komital itu.

Dua isu itu membabitkan sama ada Tommy boleh memberikan pandangan terhadap ex-parte (sebelah pihak) dan sama ada dua afidavit oleh Tommy dan pegawai pengendali terdahulu yang difailkan sebelum ini dilayan.

Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili keluarga Muhammad Adib berkata, terdapat dua isu timbul yang perlu diselesaikan membabitkan permohonan perintah komital itu.

“Mahkamah perlu menyelesaikan kedua-dua isu itu sebelum permohonan ini berjalan.

“Saya dimaklumkan Peguam Negara sudah memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan perintah komital itu,” katanya.

Turut mewakili keluarga anggota bomba berkenaan ialah peguam Abdul Rahim Sinwan.

Pejabat Peguam Negara pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy dan Mankiranjit Kaur Mehinder Singh.

Pada 16 Julai lalu, permohonan ex-parte itu difailkan Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates di Mahkamah Koroner kira-kira 8.20 pagi.

Berita berkaitan

Bapa Adib fail permohonan terhadap AG

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 12:37pm
d