mutakhir

Telinga hampir putus selepas ditangkap mencuri

Oleh Muhamaaad Razis Ismail

PADAH mencuri getah sekerap di kebun milik sepupu, seorang lelaki berusia 26 tahun hampir putus telinga kiri dan patah rahang selepas ditangkap penduduk kampung di Kampung Changgal, Bukit Yong Pasir Puteh, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, polis turut merampas seguni getah sekerap seberat 15 kilogram bernilai RM50.

Seorang lagi rakan suspek berjaya melarikan diri.

Menurut sumber, sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, polis bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika itu, suspek mengalami kecederaan di telinga, mulut, tangan dan badan.

“Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh dan dibawa ke Hospital Tengku Anis ,sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Asisten Superintendan Amran Mat ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 1:13pm
d