mutakhir

Cemas disamun lelaki bertopeng, berparang [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

SATU keluarga di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat berdepan detik cemas selepas kediaman mereka diceroboh enam penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang, malam tadi.

Dalam kejadian 11.40 malam itu, mangsa berusia 37 tahun bersama isteri, anak serta saudara mara yang semuanya seramai lapan orang sedang berehat di ruang tamu kediaman dua tingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, tiga daripada suspek tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan mengacukan parang sebelum mengarahkan semua mangsa itu untuk masuk ke dalam bilik di tingkat bawah rumah itu.

Menurutnya, mereka kemudiannya diikat, namun isteri mangsa dibawa naik ke bilik tidur di tingkat atas untuk menunjukkan tempat penyimpanan barang berharga termasuk barang kemas.

“Tiga lagi suspek menunggu di luar rumah dan mereka menaiki kereta tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya.

“Jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM30,000 dan semua mangsa berusia enam hingga 60 tahun tidak cedera,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, semua mangsa berjaya melepaskan diri dengan meminta bantuan daripada jiran di sebelah rumah.

Menurutnya, tiada kesan cap jari ditemui kerana semua suspek memakai sarung tangan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Inspektor Shah Razmeer Khan Shah Gzali Khan di talian 0103617250 bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 3:29pm
d