mutakhir

Mulianya hatimu dik... [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

“BIARLAH saya berkorban asalkan kebajikan adik dan ayah tidak terabai,” kata Nurul Sholihah Miskan, 20.

Nurul Sholihah adalah anak sulung daripada dua beradik dan kini tinggal bersama bapa tiri, Husain Abdullah, 63, sejak ibu dan bapa kandungnya membawa haluan masing-masing.

Turut tinggal bersamanya adalah adik kandung, Muhammad Aiman, 15 dan tiga saudara tiri iaitu Nur Hidayah, 11, Nur Ain, 9 serta Haziq, 6.

Bercerita lanjut, Nurul Sholihah berkata, dia tidak menyambung pengajian dan bekerja selepas tamat persekolahan kerana perlu menguruskan empat adik masih bersekolah serta bapa tirinya yang kudung kaki kiri sejak hampir setahun lalu.

Katanya, dia tidak pernah rasa terbeban kerana menganggap apa dilakukannya itu tanggungjawab sebagai anak sulung serta kakak dalam keluarga.

“Ramai bertanya kenapa saya tidak bekerja sedangkan masih muda dan sihat untuk keluar mencari rezeki.

“Bukan tidak mahu tetapi jika saya bekerja, siapa menguruskan ayah di rumah dan adik yang masih bersekolah?

“Ayah ada menerima bantuan bulanan zakat tetapi jumlah diterima tidak cukup.

“Jadi, saya cuba ikhtiar mendapatkan pendapatan sampingan dengan menjual baju sumbangan sebuah syarikat pembekal kaki palsu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Lembah Subang hari ini.

Menceritakan rutin hariannya, Nurul Sholihah berkata, selain menguruskan bapa tiri, dia menghantar serta mengambil tiga adiknya pulang dari sekolah.

“Saya turut membantu ayah melakukan kerja rumah dan selepas semuanya selesai, barulah saya ke bawah untuk menjual baju.

“Baju berkenaan dijual RM1 saja dan jualan itu salah satu ikhtiar saya untuk membantu ayah menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Husain berkata, kecacatan dialami bukan saja membataskan pergerakannya tetapi menghalangnya keluar bekerja untuk menyara keluarga.

Disebabkan itu, dia terpaksa bergantung sepenuhnya dengan bantuan bulanan RM500 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Saya menghidap diabetes sejak 2011 dan keadaan penyakit yang serius menyebabkan kaki saya dipotong Ogos lalu.

“Sejak itu, Nurul Sholihah membantu saya bergerak, melakukan kerja rumah selain mengambil dan menghantar tiga adiknya pergi serta pulang dari sekolah.

“Rutin harian saya pula adalah menyediakan makanan untuk dihidangkan kepada anak-anak,” katanya.

Menurut Husain, meskipun hidup dalam keadaan serba kekurangan, dia akur menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada lima anaknya.

“Susah memang susah tetapi saya terima qada’ dan qadar serta cuba sedaya upaya membesarkan mereka dengan kudrat yang ada.

“Tidak timbul soal anak kandung atau tiri kerana saya beri layanan sama rata kepada semuanya tanpa membezakan satu sama lain.

“Harapan saya supaya mereka (anak) belajar sehingga ke menara gading supaya dapat mengubah nasib keluarga dan menjadi manusia yang baik dari segi tingkah laku serta akhlak,” katanya.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 6:34pm
d