mutakhir

Bawa anak, isteri edar dadah

Oleh Siti Rohana Idris

POLIS menumpas sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki warga Thailand bersama isteri dan anak perempuannya yang hamil empat bulan di sebuah rumah sewa di Kampung Banggol Jering, Apam, Pasir Mas, hari ini.

Serbuan pada 2 pagi itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Selain menemui bersama sepucuk pistol bersama peluru hidup, polis merampas dadah jenis syabu dan Eramin 5 serta tiga kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Honda CRV dan Perodua Kelisa.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata ketika serbuan, suspek berusia 39 tahun berada di dapur manakala isteri berusia 37 tahun dan anak perempuannya berusia 18 tahun di bilik hadapan rumah berkenaan.

Katanya, pemeriksaan dalam rumah menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 0.5 gram dan 16 biji Eramin 5.

“Pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol jenis Walther 380 ACP di dalam sarung pistol kulit berwarna hitam di bahagian bawah sofa kulit bersama satu kelopak peluru bertulis Walther Col. 9mm kurz berisi tujuh peluru.

“Turut ditemui, satu kotak peluru berwarna hitam mengandungi 40 peluru dibalut dengan plastik lutsinar dan diikat dengan gelang getah yang diselitkan di bawah sofa.

“Selain itu, polis merampas wang tunai RM151,000 dipercayai hasil jualan dadah diperoleh dari Selatan Thailand,” katanya pada sidang media di IPD Pasir Mas, hari ini.

Beliau berkata, soal siasat mendapati pistol itu dibeli suspek sejak 2014 dengan harga hampir RM15,000 bagi tujuan perlindungan diri.

Menurutnya, suspek turut mengaku terbabit dalam pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu di sekitar Pasir Mas dan Kuala Lumpur.

“Bagi pasaran di Kuala Lumpur, suspek akan ke ibu negara sekali atau dua kali seminggu dengan membawa bersama isteri dan anaknya, bagi mengaburi kegiatan pengedaran dadah.

“Hasil ujian saringan mendapati suspek positif dadah methampetamine dan memiliki satu rekod lampau bersabit dadah,” katanya.

Beliau berkata, isteri serta anak suspek negatif dadah, namun polis percaya mereka turut terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dilakukan suspek.

Menurutnya, mereka ditahan reman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 8:37pm
d