mutakhir

Kena raba tepi lebuh raya

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PEKERJA insurans mengalami detik menakutkan apabila diraba lelaki berpura-pura ingin membantu menukar tayar keretanya yang pancit di Lebuhraya Guthrie, dekat Sungai Buloh, semalam.

Sumber polis berkata, kejadian 7.15 pagi apabila mangsa yang berusia 20-an dan berseorangan terpaksa berhenti di bahu jalan selepas mendapati tayar keretanya pancit.

Katanya, selepas beberapa minit cuba menukar tayar keretanya itu, datang seorang lelaki yang menunggang motosikal cuba memberi bantuan kepadanya.

“Bagaimanapun, suspek memaklumkan tidak dapat menukar tayar berikutan salah satu skru pada tayar keretanya tidak dapat dibuka.

“Suspek kemudian bertindak memegang punggung mangsa sebelum tiba-tiba menarik mangsa masuk ke dalam kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut sumber itu lagi, mangsa yang ketakutan terpaksa membiarkan suspek meraba bahagian pahanya beberapa kali.

Katanya, mangsa kemudian berjaya keluar daripada keretanya selepas kehadiran dua peronda lebuh raya yang datang membantu menukar tayar.

“Pada waktu itu, mangsa cuba memaklumkan kejadian dialami, namun dihalang oleh suspek.

“Selepas dua peronda lebuh raya itu beredar sebaik selesai membantu menukar tayar kereta wanita itu, suspek sempat mencabulnya sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa di Balai Polis Sungai Buloh.

Katanya, usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 9:03pm
d