mutakhir

'Itu tidak boleh diterima...'

Oleh Nur Saliawati Salberi

“ITU adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, mengulas berhubung tuduhan beliau penipu dalam siasatan kes penyebaran video seks dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis baru-baru ini membabitkan dakwaan berkenaan.

“Masalah perbalahan politik sesama mereka biarlah hendak cakap apa pun, kecuali kalau menuduh saya sebagai penipu itu tidak boleh diterima,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Penutupan Persidangan Agung Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) Ke-90 Tahun 2019 di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai siasatan membabitkan Mohamed Azmin beliau berkata, Timbalan Presiden PKR berkenaan sudah dipanggil pada peringkat awal untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Beliau sudah diambil keterangan, di peringkat awal lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata penahanan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan kes penyebaran video berkenaan mengikut undang-undang dan tidak perlu dipersoalkan.

Katanya, penahanan itu dibuat oleh pasukan penyiasat dan mereka akan memanggil atau menahan individu berkaitan untuk menjalankan siasatan.

“Saya tidak melihat (penahanan) ini tidak adil. Saya tidak beri laluan sesuka hati yang mana mereka bertindak sesuka hati atau menganiaya orang, jika ada itu adalah tuduhan politik.

“Perkara itu diputuskan oleh pasukan siasatan, siapa perlu dipanggil beri keterangan akan dipanggil, siapa perlu ditahan juga itu hak pegawai dan mengikut undang-undang ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 6:40am
d