mutakhir

6 penjawat awam hadapi 63 tuduhan

Oleh Siti Sofia Md Nasir

ENAM penjawat awam termasuk lima penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, semalam atas 63 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM73,600 antara 2015 hingga 2018.

Dalam prosiding sama, seorang bekas penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Utara turut dituduh dengan semua mereka dikatakan menerima ganjaran daripada pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori melakukan kesalahan di Pulau Pinang.

Semua tertuduh berdepan 63 pertuduhan pilihan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang dituduh adalah Pemeriksa Kereta Motor Gred 29, Ahmad Tajuddin Husin, 35, Pembantu Penguat kuasa Gred 19, Ahmad Daniel Magendran Abdullah, 41, dan Pembantu Penguat kuasa Gred 19, Najib Mohamad Tarmizi, 32.

Turut didakwa, Pembantu Penguat kuasa Gred 19, Hasrol Sani Abu Bakar, 39, Pemeriksa Kereta Motor Gred 19, Muhammad Airil Teo Abdullah, 31, dan Ketua Pembantu Penguat kuasa SPAD, Ahmad Alamin Don, 33.

Pada prosiding semalam, Ahmad Tajuddin berdepan dua pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM800, manakala Ahmad Daniel (36 pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM51,050) dan Najib (empat pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM4,000).

Sementara itu, Hasrol Sani berdepan lima pertuduhan utama dan pilihan membabitkan nilai suapan RM9,100, Muhammad Airil (12 pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM6,900) dan Ahmad Alamin (empat pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM1,700).

Mengikut pertuduhan utama, semua tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka iaitu wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat, 46.

Suapan itu adalah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat terbabit (Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tiga bank di Bukit Mertajam, antara Mac 2015 sehingga Jun 2018.

Semua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, semua tertuduh didakwa memperoleh untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan berupa wang tunai daripada Ooi bagi tujuan membabitkan penguatkuasaan di bawah APJ 1987 terhadap lori milik syarikat terbabit.

Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh, kecuali Ahmad Alamin, diwakili peguam Datuk Naren Singh, manakala Ahmad Alamin yang kini berkhidmat sebagai anggota JPJ Perlis, tidak diwakili peguam.

Nizam kemudian menetapkan jaminan antara RM5,000 hingga RM25,000 kepada semua tertuduh dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Selvaranjini dan akan disebut semula pada 12 September hadapan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya turut hadir mendengar pertuduhan berperingkat terhadap enam daripada 18 anggota penguat kuasa terbabit, semalam.

Beliau tiba pada jam 9 pagi dengan diiringi Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah SPRM negeri, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Kelmarin Latheefa, dalam sidang media memaklumkan 18 lagi pegawai penguat kuasa akan didakwa secara berperingkat selama tiga hari, bermula semalam.

Harian Metro April lalu melaporkan April lalu, sekurang-kurang 75 anggota penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dilakukan dalam tiga fasa.

Semua pegawai penguat kuasa JPJ Pulau Pinang daripada gred 19 hingga 32 itu dipercayai menerima bayaran berjumlah antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Mereka turut didakwa membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas dikatakan hanya dikenali serta difahami penguat kuasa terbabit.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 6:50am
d