mutakhir

Tengkorak, tulang dalam semak

Oleh Kandau Sidi

POLIS menjumpai tengkorak dan tulang manusia dalam semak berhampiran kereta yang ditinggalkan dipercayai milik mangsa di Kampung Narum, Marudi, 11 pagi semalam.

Tengkorak dan tulang manusia itu dijumpai dua meter dari kenderaan putih oleh pasukan polis dari balai polis daerah Marudi ketika melakukan rondaan mencegah jenayah di lokasi terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Marudi, Asisten Supritendan Jaimi Husin yang mengesahkan penemuan itu berkata, turut dijumpai ialah sepasang selipar hitam.

“Polis masih menjalankan siasatan kes itu untuk mengenal pasti identiti mangsa dan unsur jenayah berkaitan,” katanya di Marudi, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkian kes itu ada berkaitan dengan kehilangan lelaki berbangsa Cina berusia 61 tahun yang dilaporkan keluar rumah dan memandu kenderaan kereta putih sebelum ini.

Katanya, laporan berhubung kes kehilangan lelaki itu pernah dibuat oleh isterinya sejak dua bulan yang lalu di Balai Polis Lutong, Miri.

“Bedah siasat akan dilakukan untuk menentu dan mengesahkan identiti individu berkenaan. Ia bagi memastikan sama ada tulang dan kenderaan yg dijumpai itu ada kaitan dengan kes individu yang hilang berkenaan.

“Ia juga untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 10:14am
d