mutakhir

Mahu bergaya tapi duti tak bayar [METROTV]

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

BELI kenderaan mewah seperti Ferrari, Aston Martin, Bentley dan Lamborghini di Brunei tanpa membayar duti import kini menjadi trend bagi golongan berada negeri ini yang mahu bergaya.

Bagaimanapun, taktik berkenaan tidak bertahan lama selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menghidu perbuatan licik mereka itu susulan rampasan 18 kenderaan mewah dalam operasi khas pada 9 hingga 12 Julai lalu terutama di sekitar Kuching dan Samarahan.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Azimah Abd Hamid berkata, anggaran nilai kenderaan mewah yang dirampas itu kira-kira RM4.74 juta dengan RM8.15 juta jumlah duti import.

“JKDM Sarawak dan SPRM menggerakkan satu operasi khas pada awal bulan ini bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan kemudahan dan penyeludupan kenderaan asing ke Sarawak.

“Kami melaksanakan operasi ini selepas melakukan pemantauan selama setahun.

“Hasil risikan sebelum ini mendapati, ada kenderaan mewah itu berada di Sarawak selama setahun, berbanding tempoh dibenarkan iaitu hanya tiga bulan sahaja.

“Seramai 18 pemilik kenderaan berkenaan dikenakan bayaran jaminan RM5,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JKDM Sarawak di Petra Jaya, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKDM Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha.

Mengikut Butiran 13 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017, pengecualian hanya diberikan kepada warga asing atau berstatus penduduk tetap (PR) atau memiliki permit kerja sah di negara asing dengan syarat kenderaan itu hanya dibenarkan berada di negara ini selama tiga bulan sahaja.

Azimah ketika mengulas lanjut berkata, kesemua pemilik kenderaan mewah itu adalah penduduk tempatan tetapi beliau enggan mendedahkan sama ada orang kenamaan antara individu ditahan dalam operasi khas berkenaan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 133 (1) dan Seksyen 133 (1)(g) Akta Kastam 1967 kerana tidak mematuhi kelayakan ditetapkan pada Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

“Kita juga menyiasat kes ini membabitkan penggunaan pas kenderaan disyaki palsu dan beberapa pelanggaran kepada peruntukan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 12:01pm
d