mutakhir

Polis siapkan kertas siasatan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

POLIS sedang melengkapkan siasatan kes seorang guru wanita menendang koperal polis wanita pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, guru wanita berusia 41 tahun itu sudah dibebaskan buat masa ini dengan jaminan polis.

“Kita sudah mengambil keterangan daripada guru wanita itu pada hari kejadian sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis.

“Polis dalam proses untuk lengkapkan siasatan dan kita akan serahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan bahawa guru terbabit tidak dapat mengawal kemarahan kerana mendakwa anaknya dimarahi polis selepas terbabit kemalangan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan koperal polis wanita yang baru lima bulan melahirkan anak ditendang di perut oleh guru wanita di Kaunter Trafik IPD Pasir Mas.

Kejadian berlaku pada 3.30 petang menyebabkan anggota itu kesakitan dan dirujuk di Hospital Pasir Mas (HPM).

Ketika kejadian, guru itu hadir ke balai dan mendakwa anaknya dimarahi polis selepas terbabit kemalangan.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 12:18pm
d