mutakhir

Melaka tak halang Wan Ji

Oleh Fairuz Zaidan

PENDAKWAH bebas, Wan Ji Wan Hussin tidak dihalang untuk menyampaikan kuliah di negeri Melaka pada masa depan walaupun berdepan insiden kekecohan di masjid di Durian Tunggal, Alor Gajah, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Melaka sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan tidak berhasrat menyekat kehadiran pendakwah itu kerana percaya kejadian itu didakwa mempunyai campur tangan politik sehingga menjejaskan institusi masjid.

Beliau berkata, Wan Ji masih melalui proses mahkamah dan kerajaan negeri tidak akan membuat keputusan untuk menghalang kemasukan beliau termasuk penceramah lain walaupun mereka tidak berpihak kepada kerajaan.

“Memang kerajaan negeri benarkan beliau (Wan Ji) menyampaikan ceramah, di samping kita mengeluarkan surat kebenaran serta meletakkan beberapa syarat ditetapkan oleh Jabatan Mufti Negeri.

“Malah, setiap penceramah yang masuk ke negeri ini juga memang harus mendapatkan kebenaran dan sentiasa dipantau Jabatan Mufti Negeri bagi mengharmonikan institusi masjid.

“Menjadi harapan saya agar Melaka akan menjadi negeri yang subur dari segi ilmu dan pengetahuan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri di Ayer Keroh, hari ini.

Isnin lalu, kuliah maghrib yang dihadiri Wan Ji di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Alor Gajah, bertukar kecoh selepas dibantah sekumpulan individu.

Majlis ilmu yang dianjurkan Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal dipercayai dibantah oleh lebih 40 individu yang mula berkumpul di perkarangan masjid kira-kira 6 petang, sebelum berlaku kekecohan pada 7.50 malam selepas solat maghrib.

Kekecohan kira-kira 30 minit itu akhirnya dileraikan oleh polis dan kumpulan individu itu diminta keluar sebelum ceramah bulanan itu diteruskan.

Dalam pada itu, Adly berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka masih belum menyenarai hitam mana-mana penceramah dan ilmuan untuk masuk ke negeri ini bagi tujuan menganjurkan majlis ilmu.

“Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, ramai penceramah dan ilmuan dari pelbagai ideologi (tiada masalah) menganjurkan majlis agama di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 12:38pm
d