mutakhir

'Sayur kubis berbau'

Oleh Hadzlihady Hassan

“MEMANG bau lain macam sebaik saya makan sayur kubis yang dibekalkan bersama nasi ayam masak merah itu, namun kerana lapar saya gagahkan juga menjamahnya,” kata Muhammad Hifzhan Azmi, 18, penuntut semester satu Politeknik Balik Pulau yang mengalami keracunan makanan, semalam.

Menurutnya, dia tidak mengesyaki makanan itu tercemar dan membawa pulang dua bungkusan nasi untuk makan tengah hari dan juga malam.

“Kami mengikuti program taklimat mengundi yang dianjurkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada sebelah pagi dan ia diwajibkan untuk penuntut semester satu.

“Program itu berakhir pada 12 tengah hari dan saya diberikan dua bungkus nasi dan makan sebungkus ketika sesi taklimat berakhir,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya tidur sementara menunggu untuk masuk ke kelas pada 2 petang tetapi ketika itu perutnya mula memulas.

“Selepas habis kelas pada 4 petang, saya terus tidur dan apabila bangun perut saya bertambah sakit disusuli dengan muntah serta cirit-birit,” katanya yang ditemui ketika mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau (HBP), malam tadi.

Menurutnya, dia kemudiannya memaklumkannya kepada pensyarah sebelum dibawa ke HBP untuk menerima rawatan.

Dalam kejadian semalam, seramai 55 penuntut dirawat sebagai pesakit luar selepas makan nasi berlauk ayam masak merah, telur dan sayur kubis yang disediakan ketika menghadiri program taklimat mengundi dianjurkan SPR.

Program itu diwajibkan kepada semua penuntut semester satu politeknik berkenaan yang membabitkan seramai 207 orang.

Mereka yang mengadu sakit perut kira-kira 4 petang itu kemudiannya dibawa dengan kenderaan politeknik dengan ditemani pensyarah untuk mendapatkan rawatan di HBP secara berperingkat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Dr Afif Bahardin berkata, pihaknya sudah mengarahkan siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca keracunan makanan terbabit.

“Kita akan mengenal pasti pihak bertanggungjawab yang menyediakan juadah terbabit dan akan melakukan siasatan berhubung punca keracunan itu.

“Keputusan mengenai punca keracunan itu akan diumumkan selepas siasatan menyeluruh dilakukan,” katanya.

Berita berkaitan

50 pelajar Politeknik Balik Pulau keracunan [METROTV]

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 2:06pm
d