mutakhir

Malaysia Hall Gaza di Palestin

Oleh BERNAMA

KEDUTAAN Palestin menyambut baik penubuhan ‘Malaysian Hall Gaza’, sebuah pusat sehenti menyediakan maklumat mengenai Malaysia di samping menjadi pusat aktiviti kemanusiaan di kawasan berkenaan.

Berbeza dengan ‘Malaysia Hall’ yang lain di seluruh dunia, pusat sehenti terletak di Tal al-Hawa di bandar Gaza itu hasil kerjasama lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata rakyat Malaysia dari semua peringkat selama ini sentiasa menyokong perjuangan Palestin dan apa diusahakan gabungan NGO Malaysia amat dihargai.

“Inisiatif mewujudkan ‘Malaysian Hall Gaza’, saya menyifatkannya sebagai permulaan. Insya-Allah, kita akan mempunyai dewan sama di Baitulmaqdis, Ramallah dan di Hebron.

“Kami mahu melihat bendera Malaysia di seluruh Palestin,” katanya kepada BERNAMA di kedutaannya di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Alim Araby berkata, inisiatif berkenaan adalah bagi menyokong usaha kerajaan selama ini berterusan menentang kezaliman rejim zionis Israel.

“Kita disambut baik ramai pihak. Kerjasama ini kita akan dilakukan melangkaui sokongan politik. Inilah satu bentuk solidariti yang bukan sekadar menghantar kotak bantuan, malah lebih daripada itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain mengelak berlaku penindanan dalam kerja saluran bantuan, ‘Malaysian Hall Gaza’ juga menyediakan maklumat kepada pelajar Palestin berminat menyambung pengajian di Malaysia.

“Mereka tidak dapat informasi tepat. Jadi kita beri maklumat kepada mereka, contohnya terdapat universiti yang menawarkan diskaun,” katanya.

Pusat itu dirasmikan minggu lalu oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Luar, Mohd Nazri Noh bersama Ahmad Sani, dikendalikan 15 petugas diketuai Muhammad Nadir al-Nuri Kamaruzaman, rakyat Malaysia yang menetap di sana.

Menurut Mohd Nazri, beliau turut mencadangkan supaya pusat itu menyediakan pendidikan asas Bahasa Melayu bagi memudahkan pelajar Palestin berminat melanjutkan pengajian di negara ini.

“Ini satu usaha yang baik. Kita memberi sokongan kepada usaha seperti ini supaya NGO dapat menyusun atur saluran bantuan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 2:54pm
d