mutakhir

Empat Palauh bom ikan

Oleh Fardy Bungga

CUBAAN empat lelaki melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan Tabawan di Kunak, dekat Lahad Datu gagal selepas berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, kumpulan lelaki warga asing itu dilaporkan cuba melarikan diri ke kawasan paya bakau tetapi tindakan pantas APMM berjaya menahan kesemua individu terbabit.

Pengarah APMM Zon Maritim Lahad Datu Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, semua empat individu yang menaiki dua bot pam itu dikesan dalam operasi rondaan rutin APMM di sekitar perairan berkenaan.

Menurutnya, empat lelaki itu yang dikenal pasti sebagai orang Palauh (Bajau Laut yang tinggal dalam bot) itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa peralatan mengebom ikan bersama bekalan ikan disyaki hasil kegiatan mereka itu.

“Semua suspek yang ditahan itu berusia lingkungan 25 hingga 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, hasil rampasan termasuk bot dan enjin pam dianggarkan bernilai RM10,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, semua barang rampasan itu dibawa di Jeti Perikanan Lahad Datu untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, Abdul Muhaimin berkata, berdasarkan rekod didapati ia adalah kes tangkapan pertama di Zon Maritim Lahad Datu pada tahun ini.

“Pasukan APMM di Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu dan Kunak,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga diminta bekerjasama dalam menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan aktiviti jenayah di laut serta mengebom ikan ke Zon Maritim Semporna di talian 089 782619 atau MERS 999.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 3:54pm
d