mutakhir

Tersilap pilih kawan

Oleh Mohd Hilmie Hussin

“SAYA tidak pernah terfikir perbuatan saya kerap tidur bersama lelaki selama ini salah di sisi agama sehingga akhirnya saya mengandung,” kata Mek Na, 27, (bukan nama sebenar) mengenai keterlanjurannya melahirkan anak luar nikah kini berusia sembilan bulan.

Mek Na, berasal dari Kelantan diambil sebagai anak angkat sejak berusia 12 hari oleh ibu bapa angkatnya yang menetap di Kuala Lumpur, kira-kira 27 tahun lalu.

Dididik dengan baik, namun Mek Na tetap tersasar, gara-gara tersilap pilih kawan.

Mek Na berkata, segala-galanya bermula dengan ajakan rakan wanita yang berjaya menjinakkannya dengan syabu sehingga dia mengikut gaya hidup rakan rapat dengannya itu, termasuk bergaul tanpa batasan dengan lelaki.

“Selama ini, saya tidak terlanjur hingga mengandung, tapi suatu hari ketika saya khayal main ‘ais’ (syabu), saya bersama rakan lelaki melakukan hubungan seks dan saya mengandung.

“Tapi dulu langsung saya tak rasa bersalah,” katanya, ketika ditemui di Dar Assaadah, Kuala Lumpur, hari ini.

Dia yang sebelum ini berkerja sebagai pengasuh di sebuah pusat asuhan akhirnya dihantar ibu bapa angkatnya ke Dar Assaadah, sebaik melahirkan bayi perempuan yang kini berusia sembilan bulan.

“Apabila belajar agama di sini, baru saya sedar perbuatan saya selama ini salah. Saya sudah buat ibu bapa angkat saya sedih sebaik mereka tahu saya mengandung.

“Jadi, mereka nak saya berubah dan hantar ke sini, Alhamdulillah, anak saya juga mereka jaga.

“Selepas saya keluar nanti, saya bercadang mencari seorang teman hidup dan pastikan anak saya mendapat kasih sayang seorang bapa.

“Saya nak jaga dia sendiri sehingga menjadi orang berguna dan tidak mengulangi perbuatan saya,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pelatih di Dar Assaadah, Zana, 21, berkata, dia bersyukur tidak sempat menjalin hubungan seks biarpun hanyut dalam keseronokan bersama rakan yang dikenali ketika memasuki kolej.

Bekas penuntut jurusan pentadbiran perniagaan itu berkata, sebaik tamat persekolahan dan memasuki kolej, cara hidupnya bertukar.

“Saya suka ke kelab malam dan tidak suka pulang ke rumah. Sehinggalah satu masa itu, seminggu saya tidak balik rumah menyebabkan mak dan ayah saya bimbang.

“Seperti kawan-kawan lain, saya cari kebebasan, melihat kawan ada kekasih saya juga mahukan kekasih, tapi Alhamdulillah saya tidak pernah terlanjur dan Allah selamatkan saya lebih awal,” katanya.

Menurutnya, meskipun tidak balik rumah, dia belum hanyut terlalu jauh dan tidak pernah menyentuh arak sebagaimana rakan-rakannya.

Katanya, menetap di Dar Assaadah sememangnya menghadirkan tekanan, terutama bunyi bising dari kanak-kanak dan bayi yang menetap bersama ibu mereka di pusat terbabit, namun dia akur kehendak ibu dan ayahnya.

“Keluar nanti, Zana nak sambung belajar dan mulakan kehidupan baru, mungkin kami akan berpindah ke tempat lain.

“Entah waktu itu mak dan ayah dapat percayakan saya atau tidak, saya tidak tahu tapi saya akan berusaha sebaik-baiknya,” kata Zana.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 4:02pm
d