mutakhir

Demokrasi, pilihan raya diajar di sekolah

Oleh Hairulazim Mahmud

PELAJAR sekolah menengah akan didedahkan berkaitan amalan demokrasi, termasuk amali kewajipan mengundi melalui sukatan subjek Sejarah, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, kementerian sedang berusaha memperkenalkan sukatan kokurikulum itu di sekolah selaras dengan pindaan umur layak mengundi 18 tahun.

“Silibus Sejarah akan ditambah baik berkaitan amalan demokrasi dan pilihan raya itu sendiri.

“Kita mempunyai beberapa topik dalam subjek sejarah berkaitan proses demokrasi, perkenalan sistem negara ini, pilihan raya dan sebagainya seawal Tingkatan 4” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Penghargaan Kepada Politeknik Yang Mencapai Tahap Emas Dalam Akreditasi Antarabangsa Oleh Suruhanjaya Pensijilan Dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC) di Petaling Jaya, hari ini.

Maszlee memberi reaksi itu bagi mengulas cadangan SPR supaya Kementerian Pendidikan dapat mewujudkan satu modul untuk mendidik pelajar sekolah mengenai perihal demokrasi dan pilihan raya.

Beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan SPR untuk mengadakan siri jelajah ke sekolah sebagai sebahagian daripada pendidikan demokrasi.

“Kita akan cuba perbaiki dan tambah beberapa elemen, bukan sekadar apa yang mereka belajar dalam kelas, buku malah lebih daripada itu,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan pengiktirafan APACC itu kepada sembilan politeknik yang memperoleh akreditasi Emas.

Politeknik terbabit ialah Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Politeknik Sultan Azlan Shah.

Turut menerima akreditasi itu Politeknik Port Dickson, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dan Politeknik Seberang Perai.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 4:17pm
d