mutakhir

Tunggu masa 'potong kepala' pelancong asing

Oleh Hadzlihady Hassan

LETAK harga hingga mencecah ribuan ringgit dan kemudian akan berlaku tawar menawar antara mereka dengan pelancong asing.

Jika bernasib baik, mereka akan mendapat imbuhan besar walaupun harga ditawar itu berkurang hingga ratusan ringgit kerana modal dikeluarkan hanya sedikit sahaja.

Itu taktik dilakukan peniaga sekitar pasar malam di Batu Feringghi di Georgetown yang menjadikan pelancong asing sebagai sasaran mereka untuk mendapatkan wang mudah dengan menjual pelbagai barang tiruan berjenama mewah dan terkenal.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dihidu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang yang melakukan serbuan bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Timbalan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung berkata, dalam operasi itu pihaknya merampas lebih 20,000 pelbagai barang tiruan berjenama terkenal bernilai RM66,000.

“Antara barang dirampas itu ialah kasut, beg tangan, jersi dan topi didapati dijual dengan harga 50 peratus daripada barang asli.

“Produk dirampas itu adalah barang tiruan jenama terkenal seperti Michael Kors, Nike, Puma, Adidas dan Jimmy Choo,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai tujuh individu termasuk seorang lelaki Bangladesh berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan untuk diambil keterangan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 bagi setiap unit barang tiruan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya, mereka yang sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 setiap unit barang tiruan atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 5:39pm
d