mutakhir

Penjarakan perosak anak bangsa

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menjual gula-gula ‘ghost smoke’ terutama dalam kalangan pelajar sekolah atau mereka akan dikenakan hukuman berat jika didapati melanggar undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memandang serius isu itu dan mana-mana penjual boleh dikenakan denda sehingga mencecah ratusan ribu ringgit atau hukuman penjara jika didapati melanggar Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kita sedang melipatgandakan pemantauan dan beri tugas tambahan kepada penguat kuasa untuk lihat ghost smoke ini, jadi saya nasihatkan peniaga jangan jual sebab benda dijual murah tapi hukuman sangat berat.

“Seperti kes di Kulim, pegawai penguat kuasa rampas 108 paket gula-gula ini di premis runcit, nilainya hanya RM54...tidak berbaloi dengan hukuman,” katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) Zon Utara Alor Setar, hari ini.

Isu ghost smoke mendapat perhatian selepas satu video menunjukkan kanak-kanak sekolah ‘menghisap’ gula-gula itu dan mengeluarkan asap seakan-akan rokok tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati gula-gula berkenaan diimport dan mempunyai logo halal, namun diragui.

Menurut beliau, gula-gula itu juga didapati sudah lama berada di pasaran dan biasanya dijual berhampiran kawasan sekolah sejak beberapa tahun lalu.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 6:01pm
d