mutakhir

Belum tahan lagi la...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS menasihatkan orang ramai tidak mempercayai berita yang tular di media sosial kononnya enam penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang merompak sebuah rumah dihuni lapan sekeluarga di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, sudah ditahan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, siasatan masih berjalan dan buat masa ini, pihaknya sedang memburu suspek bagi membantu siasatan.

“Nasihat saya jangan percaya pada viral (tular) kerana siasatan masih berjalan dan belum ada tangkapan buat masa ini.

“Apabila suspek ditahan nanti baru kita akan mengetahui pembabitan mereka dalam kejadian ini dan kes di daerah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutupan Latihan Ancaman Keganasan (AEX SZB 2019), di sebuah hotel, di Subang Jaya, hari ini.

Noor Azam berkata, pihaknya memang menerima banyak kes pecah rumah di beberapa daerah di Selangor, namun sama ada ia dilakukan kumpulan sama atau tidak hanya dapat dikaitkan selepas mereka ditahan.

Harian Metro, semalam, melaporkan keluarga berkenaan berdepan detik cemas selepas kediaman mereka diceroboh enam penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang.

Dalam kejadian 11.40 malam itu, mangsa berusia 37 tahun bersama isteri, anak serta saudara mara yang semuanya seramai lapan orang sedang berehat di ruang tamu kediaman dua tingkat itu.

Berita berkaitan:

  • Cemas disamun lelaki bertopeng, berparang [METROTV]
  • Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 6:51pm
    d