mutakhir

Amirudin nafi Azmin keluar PKR

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari menolak dakwaan pihak tertentu isu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama beberapa pimpinan meninggalkan parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau berkata, sebahagian besar pimpinan utama parti itu pada pemilihan lalu adalah majoriti pasukan Mohamed Azmin.

“Setahu saya, beliau (Mohamed Azmin) menang majoriti besar selaku Timbalan Presiden PKR dan selaku majoriti, tiada isu beliau keluar parti,” katanya pada Harian Metro.

Terdahulu, Amirudin merasmikan program Program Selangkah ke Universiti di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar, hari ini.

Ketika diminta kenyataan parti yang meminta Amirudin memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin PKR, beliau enggan mengulas kerana belum menerima sebarang makluman tentang perkara itu.

“Saya baru dengar perkara itu malam tadi (semalam). Kalau surat pun belum datang, tak boleh beri maklum balas.

“Kalau surat dalam bentuk pantun, saya jawab dalam pantun. Kalau surat itu datang ajak main bola, saya main bola.

“Saya tunggulah surat itu hendak cerita apa. Selagi surat belum sampai, tak payah buat spekulasi,” katanya.

Amirudin menegaskan, sebagai ahli parti beliau berusaha bagi memenuhi segala bentuk tanggungjawab yang dikehendaki.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan beliau memberi bayangan seperti mengetahui dalang penyebaran video seks intim mirip seorang menteri, Amirudin berkata, ramai pihak yang tidak memahami kenyataan terbabit.

“Lain kali datanglah program. Tengoklah (dengarlah) apa yang saya sebut dan bila sebut ramai, maknanya ada dalam kalangan sebahagian ahli anggota PKR saya kenal 20 tahun.

“Kita bersama-sama melalui pengalaman pahit dan menempuh rintangan suka duka. Namun, bila kes ini (video seks) berjangkit kepada Mohamed Azmin, saya sedih tengok ada pihak membuat buat tanggapan bahawa Mohamed Azmin adalah pelakunya,” katanya.

Beliau berkata, kenyataannya itu juga tidak menyebut nama mana-mana pihak dan sekiranya memerlukan penjelasan, beliau sendiri akan memberi penjelasan.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 7:15pm
d