mutakhir

Ahli Parlimen Dungun disamun RM26,000

Oleh Rosli Ilham

AHLI Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli, 62, kerugian RM26,000 selepas disamun dua lelaki bermotosikal berhampiran sebuah bank di Jalan Baru Pak Sabah, Dungun 2.30 petang tadi.

Mangsa cedera kaki dan tangan kanan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang bagi membayar tempahan lembu Aidiladha Ogos ini.

Katanya, sebaik selesai mengeluarkan wang, mangsa masuk ke keretanya untuk pulang ke pejabat.

“Bagaimanapun, lelaki berusia 20-an tiba-tiba masuk di bahagian tempat penumpang hadapan sebelum mengambil beg mengandungi wang itu.

“Mangsa cuba menyelamatkan beg itu daripada dilarikan sehingga berlaku pergelutan antara mereka namun suspek berjaya melarikan diri dengan motosikal yang ditunggang rakannya.

“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun sebelum ke Hospital Dungun untuk rawatan,” katanya.

Baharudin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera ketika melakukan samun.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 8:14pm
d