mutakhir

35,000 terima daging korban

Oleh Mahaizura Abd Malik

KIRA-kira 35,000 penduduk Islam dari 10 kampung di kepulauan Mindanao, Filipina bakal menerima agihan 60 ekor lembu korban bermula 11 hingga 14 Ogos depan.

Presiden Action Caring Team (ACT) Malaysia, Datu Mustafa Kamal Mohd Zaini berkata, penganjuran program dinamakan Ibadah Qurban Untuk Kemanusiaan dan Persaudaraan (QHS) itu sudah menjadi tradisi pihaknya sejak 12 tahun lalu bagi menyantuni penduduk Islam di wilayah selatan negara terbabit.

Beliau berkata, tahun ini ACT Malaysia sekali lagi tampil menyantuni penduduk yang sebahagian besarnya adalah pelarian susulan pertempuran antara tentera Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

“Walaupun keamanan semakin meningkat dengan ketara sejak tahun kebelakangan ini, ramai masih hidup dalam kemiskinan akibat konflik bersenjata yang puluhan tahun berlaku.

“Maguindanao masih menjadi daerah termiskin di Filipina dan mempunyai masalah kekurangan keperluan asas seperti bekalan makanan,” katanya.

Menurutnya, mereka menyasarkan 60 ekor lembu dan kira-kira 20 ekor kambing korban untuk diagihkan kepada masyarakat miskin di sekitar Cotabato City, Maguindanao dan daerah berhampiran.

“Atas faktor kedaifan hidup, kebanyakan mereka hanya makan daging lembu sekali setahun iaitu ketika Aidiladha, itupun jika ada mana-mana NGO datang menyantuni.

“Jadi, pemilihan dibuat bersama pemimpin setempat berdasarkan aspek ketiadaan bantuan daripada pihak luar dan tahap kemiskinan mereka.

“Kita turut bekerjasama dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa termasuk Yayasan MyCare, Ikatan Guru Malaysia, Sekolah Islam ADNI, Dompet Dhuafa (DD) dan Aksi Cepat Tanggap (ACT) Indonesia,” katanya.

Secara umum, katanya, seekor lembu akan dimanfaatkan sekurang-kurangnya 600 orang miskin.

“Daripada seekor lembu, kita boleh dapat secara purata 120 pek daging bersamaan satu kilogram satu pek. Ini bermakna satu pek akan dimakan keluarga terdiri daripada lima orang.

“Sebenarnya bukan sekadar daging, tetapi lebih daripada itu. Bagi mereka sokongan persaudaraan Islam Nusantara itu sangat bermakna,” katanya.

Mereka yang berminat menyertai ibadah korban menerusi program ini boleh mengisi borang penyertaan secara dalam talian di www.actmalaysia.org.my.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 6:30am
d