mutakhir

Wanita Indonesia didakwa lindungi 20 migran

Oleh Rafidah Mat Ruzki

WANITA Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang, hari ini, atas tuduhan melindungi 20 migran yang diseludup di Sekinchan, awal bulan lalu.

Tertuduh, Supinah, 43, didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, melindungi 20 migran berusia antara 23 hingga 53 tahun di sebuah rumah di Tali Air 10, Kampung Tengah Pasir Panjang, Sekinchan, pada 3.45 pagi, 3 Julai 2019.

Jika sabit kesalahan, Supinah boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Turut didakwa, rakan senegaranya, Syahriandi, 31, atas kesalahan mengangkut migran yang diseludup iaitu seorang lelaki Indonesia dikenali Ridho Kurniawan, 53 di alamat sama pada 2 petang, 2 Julai 2019.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 26J akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, atau denda tidak lebih RM250,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, yang memohon satu tarikh baharu sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kunasundary kemudian menetapkan 8 Ogos ini sebagai tarikh sebutan untuk pengurusan kes.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 12:14pm
d