mutakhir

Enam anggota JPJ didakwa terima rasuah [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir

ENAM penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, hari ini, atas 14 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,050 daripada pengarah sebuah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Semua tertuduh yang turut berdepan 14 pertuduhan pilihan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Penguat kuasa JPJ Pulau Pinang itu ialah Aminorrofee Rais, 44, Muhammad Faisal Salleh, 33, Abu Ubaidah Yacob, 51, Azrul Faiz Md Saad, 36, Mohd Sarwani Mohd Nor, 34, dan Mohd Yusri Jusoh, 48.

Pada prosiding hari ini, Aminorrofee berdepan lima pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah berjumlah RM4,150, manakala Muhammad Faisal (dua pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM1,800), dan Abu Ubaidah (dua pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM2,000).

Sementara itu, Azrul Faiz berdepan satu pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai suapan RM800; Mohd Sarwani Mohd Nor (tiga pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM1,150), dan Mohd Yusri hanya satu pertuduhan utama dan pilihan dengan nilai suapan RM1,000.

Semua tertuduh adalah Pembantu Penguat kuasa, dan Pemeriksa Kereta Motor dengan gred 19 hingga 29, yang bertugas di JPJ Seberang Jaya dan di Stesen Penguat kuasa JPJ di Penaga.

Mengikut pertuduhan utama, semua tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka wang tunai daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat, 46, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat terbabit (Sam Lian Transport & Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pelbagai bank di Bukit Mertajam antara 2016 sehingga 2018.

Semua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, semua tertuduh didakwa memperolehi untuk diri mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan berupa wang tunai daripada Cheng Keat bagi tujuan membabitkan penguatkuasaan di bawah APJ 1987 terhadap lori milik syarikat terbabit.

Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Abu Ubaidah yang bertugas di JPJ Seberang Jaya diwakili peguam M Hafiz Zainol Abidin manakala semua tertuduh lain diwakili peguam Mohd Hakim Hamran.

Nizam kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada lima tertuduh, dan RM10,000 kepada Aminorrofee, dengan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri dan S Selvaranjini, selain kes akan disebut semula pada 24 September hadapan.

Enam tertuduh yang didakwa hari ini adalah kumpulan terakhir daripada 18 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang didakwa secara berperingkat bermula Rabu lalu.

Sebanyak 117 pertuduhan dibacakan terhadap 18 anggota JPJ Pulau Pinang terbabit dengan jumlah nilai suapan RM86,550.

Mei lalu, lapan penguat kuasa JPJ dan seorang bekas anggota SPAD dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, atas pertuduhan sama.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lalu, selepas disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 12:28pm
d