mutakhir

'Anak saya sudah kebiruan ketika ditemui'

Oleh Nor Farhani Che Ad

“KETIKA saya sampai di rumah pengasuh, seluruh badan bayi saya sudah biru dan dia juga tidak memberi sebarang reaksi,” kata Siti Halijah Hasim, 29, ibu kepada bayi tiga bulan yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya, semalam.

Menurutnya, dia diberitahu pengasuh anak bongsunya, Danial Affan Shazrul Fazami tidak sedarkan diri pada 12.45 tengah hari.

Katanya, ketika itu dia sedang bekerja di universiti swasta dekat Sungai Petani.

“Pengasuh menelefon sambil menangis menyuruh saya datang dan tengok keadaan anak kerana katanya tangan dan kaki anak sejuk.

“Apabila saya tiba, saya lihat anak memang sudah tidak bergerak dan seluruh badannya biru,” katanya ditemui di rumah ibunya di Taman Lembah Bujang Indah, Merbok, hari ini

Siti Halijah berkata, menurut pengasuh berusia 30-an itu, Danial Affan disedari tidak sedar diri ketika sedang tidur di dalam buaian.

“Katanya, pada 8 pagi, dia ada bagi anak saya mandi dan buang air besar sebelum memberinya susu tapi Danial tidak mahu minum susu.

“Memandangkan anak tak mahu minum susu, pengasuh beri anak tidur di dalam buaian sehinggalah dia perasan Danial sudah tidak sedarkan diri,” katanya.

Selain Danial Affan, pengasuh itu turut mengambil upah menjaga anak keduanya iaitu Danish Aryan berusia dua tahun, selain dua kanak-kanak lain berusia dua tahun dan 10 bulan.

Pengasuh itu juga dikatakan mempunyai tiga anak yang berusia tujuh tahun, tiga tahun dan 11 bulan.

Biarpun terkilan memandangkan Danial dihantar dalam keadaan baik dan sihat, dia tidak menyalahkan pengasuh anaknya itu.

“Sebelum ini, abang Danial (Danish Aryan) juga dihantar ke rumah pengasuh itu sejak masih bayi dan tidak pernah berlaku kejadian yang tidak diingini seperti ini.

“Saya pasrah dan tidak menunding jari kepada sesiapa, saya anggap ini sudah takdir yang Allah tentukan buat saya dan keluarga,” katanya.

Berita berkaitan

Bayi meninggal dunia di rumah pengasuh

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 3:15pm
d