mutakhir

Biawak tumpang berteduh

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEORANG wanita terkejut apabila ternampak objek disangka kayu rupanya seekor biawak besar yang berteduh di bawah keretanya di Kampung Paya Jemerli, Kulim, hari ini.

Kejadian itu disedari wanita berusia 33 tahun jam 12.20 tengah hari ketika menjenguk di luar rumah sebelum menghubungi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pegawai APM Daerah Kulim/ Bandar Baharu, Kapten (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan biawak itu pada jam 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan lima anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian dan mendapati haiwan itu masih berada di bawah kereta Proton Saga.

“Pemanggil memaklumkan rumahnya kerap dimasuki biawak sebelum ini namun hanya bersaiz kecil.

“Namun kali ini, biawak itu bersaiz besar iaitu seberat 40 kilogram manakala panjang mencecah dua meter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Fadhil Fahmi berkata, mungkin disebabkan rumah pemanggil berhampiran ladang kelapa sawit menyebabkan haiwan itu keluar mencari sumber makanan atau tempat perlindungan.

Beliau berkata, ini adalah biawak air yang juga spesis terbesar pernah ditangkap anggotanya di daerah itu berbanding biawak bersaiz kecil sebelum ini.

“Anggota kami berjaya menangkap biawak ini dalam masa kira-kira sejam kerana ia bertindak agresif.

“Haiwan ini boleh menyerang mangsanya sekiranya berasa terancam,” katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 3:58pm
d